Artifak


Harimau Berantai

Norway


Harimau Berantai merupakan rekabentuk ukiran patung kayu yang paling unik. Patung ini diukir dalam satu ketul bongkah Kayu Nyireh Batu atau Kayu Sena dengan 7 gelang berantai yang bersambung dan di dalam mulut terdapat sebiji objek bulat (bola). Jangka masa untuk menyiapkan sebuah patung dianggarkan selama 30 hingga 45 hari bergantung kepada saiz. Menurut cerita masyarakat suku kaum Mah Meri patung ini mengesahkan 2 orang adik beradik dalam perjalanan pergi memburu binatang di hutan melalui denai tanpa menghiraukan tanda-tanda kesan darah yang terdapat di laluan mereka. Tiba-tiba mereka diserang harimau menyebabkan seorang terkorban. Keingkaran mereka mematuhi kepercayaan pantang larang menyebabkan peristiwa itu terjadi, waris mereka menebus kesalahan dengan mengaplikasikan kisah tersebut dengan mengukir objek ke atas kayu dikenali sebagai Patung Moyang Tenung Jerat Harimau Berantai.




Kuku kambing

Norway


Ia digunakan untuk menanam padi. Diperbuat daripada besi dan berhulukan kayu. Sementara di bahagian hujung besi terdapat cabang seperti kuku kambing yang berfungsi untuk meletakkan akar anak benih padi yang akan ditusuk ke dalam tanah. Kini penanaman padi tidak menggunakan kuku kambing kerana menggunakan kaedah penanaman benih padi secara ‘tabur terus’. Teknologi ini mula diperkenalkan sekitar tahun 80an.




Congkak

Norway


Congkak adalah sejenis permainan berasaskan matematik yang dimainkan oleh kaum wanita zaman dahulu. Congkak sejenis permainan tradisional Melayu yang menggunakan papan kayu berlubang atau lubang di atas tanah dan buahnya daripada biji getah, biji guli atau batu kerikil. Congkak menggunakan papan kayu adalah berbentuk sampan. Congkak memiliki lubang-lubang untuk diisikan dengan buah congkak. Congkak mempunyai 5, 7 atau 9 lubang yang dipanggil kampung dengan satu lubang besar di bahagian hujung dipanggil rumah. Setiap set congkak mempunyai set kiri dan kanan kampung dengan rumah masing-masing dan memerlukan dua orang pemain. Di akhir permainan, buah congkak dikira dari rumah masing-masing. Pemenang adalah yang memiliki buah congkak terbanyak. Sekiranya jumlah buah congkak sama banyak, maka pemain dengan jumlah kampung terbakar terbanyak dikira kalah.




Mesin Getah

Norway


Mesin getah ini digunakan untuk membuat getah keping. Terdapat 2 jenis mesin iaitu mesin getah berbunga/berjalur dan tidak berbunga/lurus. Selepas susu getah menjadi beku,susu tersebut akan dimasukkan ke mesin ini untuk dijadikan kepingan getah.




Basikal Hercules

Norway


Ketika zaman Inggeris ia digunakan sebagai pengangkutan asas kepada orang awam sekitar tahun 40an hingga 60an. Basikal ini gunakan oleh para petani bagi tujuan mengangkut hasil pertanian seperti padi dan kelapa. Ia juga mampu mengangkut muatan sehingga 150 kg.




Beca

Norway


Beca adalah kenderaan beroda tiga yang asalnya diubahsuai daripada lanca, iaitu kenderaan beroda dua yang ditarik menggunakan kudrat/tenaga manusia. Di Malaysia, sejarah bermula pada 1914 apabila 15 beca didaftar di Singapura sebelum diperkenalkan di negeri-negeri Tanah Melayu. Walaupun pada awalnya ia hanya mengangkut penumpang, kini ia turut digunakan bagi mengangkut barang. Boleh dikatakan hampir kebanyakan negeri di Malaysia mempunyai perkhidmatan beca, namun ia paling popular di Melaka dan Pulau Pinang kerana diiktiraf sebagai aset tarikan pelancongan. Di negeri lain, perkhidmatan penarik beca makin pupus berikutan kurangnya permintaan daripada pelancong tempatan atau asing. Beca biasanya dilengkapi barangan asas seperti tempat duduk penumpang dan penutup bahagian atas. Dianggarkan ada kira-kira 300 beca di Melaka, manakala hanya tinggal kurang 30 beca di Kelantan dan Terengganu.




Pot, Cupak dan Gantang

Norway


Peralatan untuk menyukat padi atau beras. Gantang adalah merupakan alat sukatan lama. 1 gantang bersamaan lebih kurang 2.8 kg iaitu sama dengan 4 cupak. Gantang lazimnya diperbuat dari kayu, tembaga atau aluminium. Terdapat juga cupak diperbuat daripada tempurung kelapa yang besar. Kini sukatan ini tidak digunakan lagi selepas pertukaran kepada penggunaan sistem metrik di Malaysia pada tahun 1977. Gantang lebih dikenali sebagai peribahasa dan warisan zaman silam sahaja.




Papan kalam batu

Norway


Papan Batu dikenali juga sebagai Papan Selisih atau Papan Selit. Ianya diperbuat dari kepingan kayu sebagai bingkai dan permukaan lepaan batu sebagai medium tempat tulis (skrin), papan batu ini digunakan secara meluas oleh murid-murid sekolah seawal tahun 1940-an hingga 60-an. Ianya dipanggil papan selit kerana menyangka kebanyakannya murid-murid membawa ke sekolah dengan cara menyelit di bawah ketiak sahaja, sebenarnya perkataan selit itu berasal daripada perkataan Inggeris ‘slate’. Papan batu pula diperbuat daripada sejenis batu iaitu “loh”. Murid-murid berhati-hati menggunakannya kerana papan ini boleh pecah jika terjatuh. Papan batu ini berfungsi sebagai medium untuk menulis dan menyalin nota ketika belajar. Kaedah pembelajaran yang digunakan adalah "salin dan hafal". Mula-mula, murid akan menulis di permukaan papan batu tentang apa yang diajar oleh guru, kemudian cuba untuk menghafalnya sebelum tulisan itu dipadam. Perkara yang sama diulang setiap kali ada pelajaran yang baru. Sejenis pensil yang diperbuat daripada batu digunakan sebagai alat untuk menulis di papan batu. Pensil ini dikenali sebagai "kalam batu". Jika menulis setiap hari, kalam ini boleh digunakan untuk tempoh 3 bulan sebelum ia menjadi sangat pendek sehingga tidak boleh dipegang dengan tangan lagi. Kalam batu biasanya dijual bersama-sama dengan papan batu. Menurut cerita orang dahulu, dua batang kalam ini dijual pada harga 5 sen sahaja.




Log in to your account:


Waktu Operasi

Kami
Isnin 08:00 - 17:00
Selasa 08:00 - 17:00
Rabu 08:00 - 17:00
Khamis 08:00 - 17:00
Jumaat 08:00 - 17:00
Sabtu Tutup
Ahad Tutup
Cuti Umum Tutup

Powered by Koha